Kenapa Seorang Pekerja Sanggup Berhenti Kerja

Akhir-akhir ini, kerap kali kita mendengar cerita rakan-rakan yang sudah mula berhenti kerja, sama ada mencari kerja baru ataupun bekerja sendiri. Itulah hidup makan gaji, ada yang datang dan pergi. Masing-masing punya perancangan yang teliti dengan hidup mereka, jangan dipersalahkan atau dipandang serong.

Kenapa Seorang Pekerja Sanggup Berhenti Kerja

#1 - Bebanan kerja yang banyak

Cara paling cepat untuk membuatkan pekerja ‘burn-out’ adalah berikan kerja yang banyak kepada mereka.

Apabila kita melihat seorang pekerja membuat kerja dengan cemerlang, kita cenderung untuk menambah kerja yang lebih kepadanya agar produktiviti syarikat kita meningkat.

Ini akan membawa kepada dua kemungkinan. Pertama, dia akan menjadi penat lalu ‘burn-out.’ Kedua, dia mungkin tidak lagi membuat kerja yang sangat cemerlang kerana risau bebanan kerjanya akan ditambah.

Bebanan kerja yang lebih juga akan mengurangkan produktiviti. Kajian daripada Stanford menunjukkan produktiviti bagi setiap jam menurun dengan banyak apabila pekerja diberi kerja melebihi 50 jam seminggu.

Seandainya kita terpaksa menambah bebanan kerja kepada mereka, tambah juga ganjaran. Jika kita banyak menambah kerja tanpa menambah ganjaran, pastinya mereka akan berkerja di tempat lain yang memberi ganjaran lebih terhadap apa yang mereka usahakan.

#2 - Tidak mengiktiraf sumbangan dan tidak memberi ganjaran terhadap hasil kerja yang bagus

Jangan lupa untuk memberikan pujian dan menepuk belakang pekerja yang bagus hasil kerjanya. Kita mesti berkomunikasi dengan mereka dan memberi ganjaran yang betul agar mereka sentiasa rasa bermotivasi untuk terus menghasilkan kerja yang bagus-bagus.

#3 - Bersikap tidak menghiraukan pekerja

Sebahagian besar orang berhenti kerja kerana hubungan yang kurang baik dengan bos.

Kita sebagai ketua mesti berada di antara bersikap profesional dan bersikap kemanusiaan. Kita sentiasa meraikan kejayaan pekerja dan menunjukkan simpati sewaktu mereka dalam kesusahan.

Syarikat yang mempunyai ketua yang gagal untuk bersikap mengambil peduli terhadap orang bawahan akan mengalami ‘turn-over rate’ yang tinggi.

Sukar untuk seseorang berkerja dengan baik apabila dia terpaksa bekerja di bawah orang yang dia benci.

#4 - Majikan tidak menepati janji

Apabila kita berjanji dengan orang bawahan, kita sebenarnya sedang meletakkan diri kita di antara dua kemungkinan iaitu: (1) dia akan sangat gembira dengan kita atau (2) dia akan benci kepada kita lalu meninggalkan kita.

Apabila kita berjaya menepati janji, kita akan dihormati dan disayangi kerana kita telah membuktikan diri kita sebagai orang yang boleh dipercayai. Tetapi apabila kita gagal menepati janji, kita akan dilihat sebagai penipu dan pembelit.

#5 - Membawa masuk dan menaikkan pangkat orang yang salah

Pekerja yang bagus mahu berkerja dengan orang profesional seperti mereka. Apabila kita membawa masuk orang yang tidak dapat berkerjasama dengan mereka, ini akan merendahkan motivasi kerja.

Lebih teruk lagi, apabila kita menaikkan pangkat orang yang salah. Jika kita menaikkan pangkat orang yang mereka tidak suka, motivasi kerja mereka akan terus jatuh dan lama-kelamaan mereka akan berhenti.

#6 - Tidak memberi peluang agar pekerja dapat buat perkara yang amat mereka suka

Pekerja yang berbakat mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu kerja. Dengan memberikan peluang untuk mereka lakukan apa mereka betul-betul minat akan meningkatkan produktivi dan kepuasan kerja.

Banyak pengurus atau bos tidak membenarkan pekerja mereka buat sesuatu yang di luar skop pekerjaan. Mereka takut produktiviti akan turun jika pekerja buat apa yang menjadi minatnya.

Ini adalah salah, kajian menunjukkan pekerja yang membuat kerja dengan penuh minat adalah 5 kali lebih produktif.