Zaman sekarang ni, kita dah nampak macam-macam gaya tudung
diperagakan, tetapi pernahkah kita memikirkan apa hukum di sebaliknya?
Macam-macam kontroversi yang muncul, ada yang sewenang-wenangnya mengharamkan, ada juga yang mengatakan ia boleh tapi mana satu yang betul? Baiklah sebelum kita nak bercakap pasal tudung, fesyen, mari kita tengok pada asasnya dahulu.
Macam-macam kontroversi yang muncul, ada yang sewenang-wenangnya mengharamkan, ada juga yang mengatakan ia boleh tapi mana satu yang betul? Baiklah sebelum kita nak bercakap pasal tudung, fesyen, mari kita tengok pada asasnya dahulu.

Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan
menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini
sebagaimana firmanNya:
“Dan hendaklah mereka (yakni -wanita beriman) melabuhkan
tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)
Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia
memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna
tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan
tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian atau corak-corak lain yang
tidak sesuai dengan identiti wanita Muslim. Warna yang disukai Rasulullah ialah
warna putih sebagaimana sabdanya;
“Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci
dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (HR Imam
at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab
r.a.).
Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi-sallallahu
‘alaihi wasallam- bersabda;
“Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut” (HR Imam Abu
Daud dari Ibnu Umar).
Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras
terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan,
pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita
(umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).
Selain itu kesalahan besar pakaian itu juga adalah kerana ia telah
menimbulkan fitnah yang besar di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/penyerupaan kepada
orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum
kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan identiti mereka, seperti; salib (yang
melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang
nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat),
gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya.
Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan
bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku
kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh
imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan
Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh
sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang
turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya,
penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam
larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau
melambangkan identiti agama mereka.

Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat,
tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama.
Maka di tempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika
ia dipakai oleh orang Islam. Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis
pakaian bernama al-Burnus.[1] Ia menjawab; “Harus”. Dikatakan kepadanya;
“Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)”. Imam
Malik menjawab; “Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai”.
Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di
satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama.
Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir
al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata;
Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai
orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah
kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama
pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini
ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat;
Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa
ad-Dibaaj….).

Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan
masalah pemakaian cepiau (topi). [2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan
haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim
memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang
pro-penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkab larangan itu telah tidak
ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh
orang Islam hari ini.
Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan
yang tidak harus, di bawah ini dikemukakan beberapa dhabit yang diberikan
ulamak;
1. Berkata Imam al-Qurthubi; “Jika suatu pakaian telah menjadi
identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berfoya-foya,
dilarang orang lain memakainya” (Faidhul-Qadier, 6/104).
2. “Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada
orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik,
maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama” (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).
3. “Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang
dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus
mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam
perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan
aqidah dan ibadah-ibadah mereka”. (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).
4. “Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang
meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus
orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama)
ialah seorang muslim melakukan sesuatu yang menjadi identiti khusus orang-orang
kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak
lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan
dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun
mungkin diharamkan kerana faktor yang lain”. (Syeikh Muhammad Soleh
al-Uthaimin).

Persoalannya, apakah tudung yang di pin ke belakang itu benar-benar
menyerupai biarawati Kristian? Persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut.
Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung
sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati Kristian atau orang
yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan.
Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai
menyerupai biarawati Krisrian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian
tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah
tadi.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam
Tawilah, hlm. 182.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir
wa ad-Dibaaj….
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.
Nota hujung:
[1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah
(lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian.
[2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus
al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai.