Dron Fotografi Dan Videografi

Selalunya bermain layang-layang atau wau menjadi hobi di waktu santai bersama keluarga di taman-taman awam dan taman tasik atau pun di tepi pantai.

Namun, generasi sekarang yang juga dikenali dengan Gen-Y and akan datan Gen-Z, mereka ingin mencari hobi yang lebih berinovasi. Daripada layang-layang konvensional, minat mereka sekarang beralih kepada satu gajet yang diberi nama Dron atau Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

Ia seperti helikopter kecil yang boleh dikawal jauh dan mempunyai kamera berdefinisi tinggi yang boleh merakam pemandangan indah dari atas.
Santai Bermain Dron Mini

Dron juga dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu (UAV) merupakan pesawat terbang tanpa juruterbang dan kru. Dron boleh dikawal sama ada dengan alat kawalan jauh atau melalui komputer.

Perkembangan teknologi ini juga membolehkan orang ramai memiliki dron sebagai hobi pada waktu lapang, di samping melakukan penggambaran filem, fotografi dan sukan.

Walaupun dron yang digunakan oleh orang ramai ini ialah dron mini iaitu saiznya jauh lebih kecil berbanding dron yang digunakan oleh pasukan keselamatan, namun ia mempunyai fungsi yang sama.

Kebiasaannya, dron digunakan oleh pasukan tentera dalam operasi pemantauan atau pengintipan selain melakukan serangan ke atas musuh.
DJI Phantom 2
Perang Dunia Pertama

Pesawat tanpa juruterbang pertama dikenali sebagai Aerial Target (sasaran udara) dibangunkan selepas Perang Dunia Pertama pada 1916. UAV ini disasarkan untuk menjatuhkan pesawat belon udara atau Zeppelins, tetapi pesawat ini tidak pernah digunakan.

Tidak lama selepas itu, sebuah lagi UAV yang dikenali sebagai Pesawat Automatik Hewitt-Sperry atau ‘bom terbang’ diterbangkan buat pertama kali. UAV ini dibangunkan sebagai torpedo yang dikawal menerusi giroskop.

Pada November 1917, pesawat automatik itu berjaya membuat demonstrasi untuk Angkatan Tentera Amerika Syarikat (AS). UAV ini yang dikenali sebagai ‘Kattering Bug’ diterbangkan pertama kali pada 1918 tetapi Perang Dunia Pertama tamat sebelum pesawat automatik itu sempat digunakan.

Tentera Laut AS lebih ke hadapan dalam membangunkan UAV yang dikawal dengan isyarat radio. Pada 1936, istilah ‘dron’ pertama kali wujud apabila kumpulan penyelidik Tentera Laut AS menggunakannya untuk menggambarkan UAV sasaran tembak yang dikawal oleh isyarat radio.

Dron mini merupakan permainan kawalan radio atau kawalan jauh paling digilai di dunia termasuk di Malaysia masa kini. Perkembangan minat orang ramai terhadap permainan ini menyebabkan banyak syarikat mainan menbangunkan dron pelbagai peringkat harga yang mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat.

Pesawat kawalan radio ini sebenarnya bukan baharu tetapi telah wujud sejak 1930-an lagi. Cuma, dengan perubahan teknologi sekarang, dron yang dihasilkan untuk orang awam itu kini lebih murah, berkualiti, disertakan bateri lebih berkuasa selain menpunyai banyak fungsi termasuk dilengkapi kamera dan GPS.

Bentuknya juga pelbagai. Ada yang berbentuk helikopter, pesawat pengebom, pesawat penumpang dan jet pejuang tetapi bentuk paling popular sekarang ialah ‘quadkopter’. Dron ini dijual pada harga antara RM100 dan RM10,000 bergantung pada jenama, saiz, kualiti dan gajet yang disertakan.

Mereka yang memiliki dron kebiasaannya sekadar sebagai hobi, untuk menerbangkan pesawat ini biasanya tidak memerlukan gajet sampingan seperti kamera atau GPS. Golongan ini biasanya berkumpul untuk bermain dron di kawasan lapang.

Dron Fotografi Dan Videografi

Merakamkan gambar atau video menggunakan dron merupakan trend yang sedang popular sekarang. Teknik fotografi atau videografi menggunakan dron ini dikenali sebagai rakaman udara yang merakamkan gambar atau video menggunakan kamera yang dipasang pada dron.

Kelebihan dron fotografi ini ialah jurugambar tidak perlu memanjat pokok atau bangunan tinggi untuk mendapatkan sudut terbaik bagi merakamkan gambar. Ini kerana dron yang dilengkapi kamera ini mampu terbang setinggi 400 meter dari permukaan tanah dan dalam radius satu kilometer untuk merakamkan gambar.

Dron fotografi ini biasanyan dikendalikan oleh dua orang iaitu, yang pertama mengawal dron manakala yang kedua memantau gambar hasil gambar yang dirakam melalui komputer atau telefon pintar.

Selain fotografi sebagai hobi, dron kini digunakan dalam merakam aksi sukan khususnya lumba basikal dan motocross serta untuk penggambaran filem. Di sesetengah tempat, dron digunakan untuk menghantar pesanan makanan, barangan dan menayangkan papan iklan. Contoh dron popular, ‘WALKERA TALI H500’, ‘DJI INSPIRE 1 RTF’, EHANG GHOST PLUS TTR’.

Salah Guna Dron

Sama seperti teknologi, dron terdedah kepada penyalahgunaan. Dron yang dijual untuk permainan ini bukan sahaja dijadikan sebagai hobi tetapi ada yang menggunakan dron ini untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Isu yang paling banyak dibangkitkan berhubung penggunaan dron ialah pencerobohan hak privasi individu dengan merakamkan gambar atau video seseorang di dalam rumah selain tempat tertentu seperti di pantai.