
Jika
ditanya, ramai ibu menyatakan anak mereka kuning ketika minggu pertama selepas
kelahiran. Tidak kurang pula rawatan tradisional atau alternatif yang digunakan
seperti susu kambing, menjemur di pagi hari serta mandi menggunakan ubat tabib
Cina.
Penyakit kuning,
atau jaundis, sebenarnya bukan satu penyakit. Ia berlaku akibat sel darah merah
yang pecah. Lebih banyak sel darah merah yang pecah, lebih tinggi kadar
jaundis. Bayi terbabit mempunyai najis berwarna kuning dan air kencing jernih.
Terdapat
beberapa keadaan di mana sel darah merah pecah pada kadar lebih tinggi seperti:
- Pendarahan di bawah kulit kepala iaitu 'subaponeurotic haemorrhage'
- Darah bayi yang pekat. Ini biasanya berlaku pada bayi dilahirkan ibu yang mengalami masalah
- Kencing manis
- Jangkitan kuman
Jenis darah
yang berbeza antara ibu dan anak. Biasanya risiko lebih tinggi sekiranya salah
seorang mempunyai darah jenis O. Dalam keadaan sebegini, jaundis mungkin
bermula dalam 24 jam pertama selepas lahir dan tahapnya mungkin melebihi 340
micromol atau liter.
Mengenali
Jaundis
Bayi jaundis
boleh dikenali dengan warna kulitnya yang kuning. Ia biasanya bermula dari muka
dan turun ke perut dan kemudiannya ke kaki. Untuk mengenal pasti sama ada bayi
anda mengalami jaundis, tekan pada kulitnya untuk beberapa saat dan kemudian
lepaskan. Sekiranya jaundis, kulit di bahagian yang ditekan akan kelihatan
kuning. Sekiranya jaundis itu fisiologikal atau berpunca daripada salah satu
sebab di atas, air kencing jadi jernih manakala najis pula kuning.
Rawatan
Jaundis
Doktor
biasanya akan mengambil darah untuk mengenal pasti tahap dan jenis jaundis.
Sekiranya perlu, bayi akan diletak di bawah lampu fototerapi. Ini akan membantu
mengurangkan tahap jaundis. Ketika menjalani rawatan fototerapi, baju dan
seluar akan ditanggalkan dan mata akan ditutup dengan cermin mata khas untuk
mengelakkan kerosakan pada retina. Bayi juga perlu diberi susu dengan lebih
kerap dan banyak untuk mengelakkan daripada dehidrasi. Sekiranya tahap jaundis
terlalu tinggi, doktor mungkin perlu melakukan pertukaran darah.
Rawatan
tradisional
Rawatan
menggunakan susu kambing atau ubat mandian tidak mempunyai bukti saintifik
mengenai keberkesanannya, manakala menjemur pula kurang efektif kerana ia
bergantung pada cuaca. Pendedahan pada matahari terlalu lama boleh menyebabkan
kulit menggelupas. Pendedahan pada cahaya matahari juga akan membuatkan kulit
menjadi gelap. Kuning tidak kelihatan tapi tidak bermakna ia tidak ada lagi.
Risiko tahap
kuning yang tinggi
Tahap kuning
yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan pendengaran serta 'choreoathetoid
cerebral palsy' akibat dari bilirubin (bahan yang menyebabkan kuning) melekat
pada bahagian otak.
Sekiranya
jaundis berpanjangan?
Jaundis
fisiologikal biasanya hilang pada hari ke10 untuk bayi yang dilahirkan cukup
bulan. Sekiranya berpanjangan, beberapa perkara perlu diteliti seperti adakah
warna najis dan air kencing normal?
Sekiranya
warna najis pucat dan warna air kencing gelap, ia menandakan masalah pada hati
atau salur hempedu.
Kanak-kanak
yang menyusu badan sepenuhnya mungkin mengalami jaundis lebih lama.
Bagaimanapun, warna najis dan air kencing tetap normal dan jaundis tidak
tinggi. Jaundis yang disebabkan susu ibu tidak membahayakan bayi.
Sekiranya
doktor mengesyaki bayi mempunyai masalah hati atau salur hempedu, bayi akan
dihantar untuk pemeriksaan ultrasound. Ini mungkin diikuti dengan pemeriksaan
lain untuk mengenal pasti punca kuning. Masalah seperti 'biliary atresia' dan
'choledochal cyst' di mana hati dan salur hempedu tersumbat, memerlukan
pembedahan sebelum keadaan jadi lebih teruk.