Pokok ini membuat saya mengimbas kembali semasa zaman kanak-kanak
dahulu, waktu sekolah rendah. Biasanya, kegiatan ini dilakukan bersama rakan
sebaya selepas balik dari sekolah atau waktu cuti sekolah. Kegiatan apa agaknya
tu? Ya.. Mencari pokok jarum mas !!
Kononnya pokok ini boleh dibuat ubat dan boleh dijual di kedai ubat.
Bila dijual dapatlah duit saku. Maklumlah budak-budak. Kedai ubat tersebut
memang dekat sangat rumahku ketika itu. (sekarang kedai ubat tu pun dah tutup).
Waktu dan saat itu, saya sendiri tidak pasti bagaimana cerita pokok
jarum mas tersebut bermula apatah lagi boleh menjualnya. Memang seronok cari
pokok jarum mas bersama kawan-kawan. Pokok ini memang banyak tumbuh di
padang-padang rumput. Hendak kenal pokok ini pun mudah. Berebut-rebutlah kami
mencari pokok ini dan masukkan dalam plastik. Boleh tahan juga banyaknya bila
dikumpulkan dari hari ke hari.
Kononnya, bila dah jual berkilo-kilo dapatlah lebih duit. Oh ye..
saya pun masih teringat, ada di antara kami yang cuba menanam pokok tersebut
tetapi satu pun tidak menjadi. (maklumlah, akal belum panjang lagi). Hari yang
dinantikan pun tiba, kami pun ke kedai ubat tersebut. Cerita punya cerita, dan
dipendekkan cerita, taukeh kedai ubat tersebut sebenarnya memang tidak membeli
jarum mas tersebut. Akhirnya, kami pun pulang dengan hampanya dan punahlah
harapan untuk mendapat pulangan yang lumayan.
Beberapa tahun sudah pun berlalu, aku pun semakin dewasa. Akal pun
dah makin panjang. He..he.. Petang tadi sambil berjalan di tepian padang,
terjumpa pula pokok jarum mas yang sempat aku cabut dan bawa balik. Maka
terhasilah artikel yang sengaja aku panjang-panjangkan ceritanya. Kebetulan
beberapa jam tadi, aku ada terbaca satu artikel dalam sebuah buku, menyatakan
pokok jarum mas mempunyai khasiat perubatan dalam merawat senggugut. Caranya
dengan minum air rebusan pokok tersebut sebelum datangnya haid. Di dalam sebuah
blog yang lain pula menyatakan, pokok ini dapat merawat penyakit keputihan dan
mampu menjaga kesihatan rahim.
Begitulah cerita mengenai pokok jarum mas. Mungkin anda juga
mempunyai cerita mengenai pokok ini sewaktu zaman kanak-kanak anda. Harap boleh
kongsikan di sini.
Rumput Jarum Emas
Jarum mas adalah sejenis rumput yang selalu akan tumbuh di antara
rumput biasa di padang-padang rumput dan di tepi-tepi lebuh raya. Jenisnya
dibezakan oleh warna bunganya yang selalunya berwarna kuning, merah dan ungu.
Jenis berbunga kuning ialah jenis yang paling mudah dijumpai di Malaysia.
Kegunaan
Khasiatnya untuk perubatan telah diketahu turun-temurun, menurut
satu cerita, jarum mas mula digunakan untuk mengembalikan kecergasan selepas
bersalin. Kadang-kadang biasa kita lihat kucing yang baru melahirkan anak
selalunya akan mencari dan mengunyah rumput ini.
Cara digunakan ialah satu atau dua batang rumput jarum mas
dikeringkan kemudian direbus hingga mendidih dan diminum airnya dua kali
sehari. Pastikan tidak terlalu banyak tumbuhan ini dimasukkan ke dalam rebusan
kerana pengambilan berlebihan boleh menimbulkan kesan sampingan seperti mual
dan loya.
Selain dari mengembalikan kesihatan rahim dan sistem reproduktif ia
juga dapat mengubat penyakit keputihan dan menghilangkan sakit urat dan sengal
badan dengan penyedianya yang sama.
Masalah “ubat” buatan sendiri ini banyak berkait dengan sukatan
“lebih kurang”nya, masa menyediakannya, juga masa hendak memakannya. Kita tak
tahu dengan tepat, contohnya, banyak mana air atau ramuan daunnya yang
diperlukan, banyak mana ubat perlu diambil, sekerap mana, dan macam-macam lagi.