Rahsia Daun Lemuni

Pernah dengar tak daun lemuni? Daun lemuni ni mudah didapati di kampung dan digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit rheumatism, cirit birit, mencegah kanser payudara serta bermanafaat kepada ibu yang baru melahirkan.

Air rendaman daun ini jika dijadikan air mandian dipercayai dapat memulihkan anggota‐anggota badan yang lemah, terutama setelah sembuh dari sakit yang berlarutan.

Resepi nasi daun lemuni, daunnya dikisar untuk mendapatkan pati dan dicampur bersama santan untuk mendapatkan nasi yang lazat dan berkhasiat. Menu ini memang terkenal di utara semenanjung Malaysia.

Wanita yang memilih cantik secara alami, pengambilan ulam-ulaman dalam menu seharian adalah wajib. Jika wanita itu pengamal awet muda cara 'orang lama', spesies ulam-ulaman seperti ulam raja, pegaga, pucuk kaduk, pucuk gajus pasti tidak asing. Berapa ramai wanita moden masa kini yang kenal dengan daun lemuni?

Pokok Lemuni

Pokok lemuni hitam atau nama saintifiknya Vitex trifolia adalah sejenis pokok dengan ketinggian 1 hingga 3 meter, sewaktu pokok ini masih muda, daunnya yang bercabang tiga itu warna biru kehitaman dan apabila matang, daunnya bertukar berwarna hijau dengan tulang daun berwarna biru kehitaman. Jika lihat dengan mata kasar, warnanya seakan-akan ungu.

Selalunya pokok lemuni ditanam di belakang rumah dan tuan rumah je yang masak nasi ni. Mungkin susah nak jual sebab jumlah daun yang banyak diperlukan untuk hasilkan sikit saja kuantiti air daun lemuni yang betul-betul sedap, apatah lagi daun lemuni bukan senang dicari.

Lemuni umpama tumbuhan kacukan antara pokok renek dan pokok batang berkayu. Ia mampu tumbuh tinggi. Di sesetengah tempat ia dipanggil lagundi, dangla, lipuk, tigau, ‘three leaves chaste tree’, ‘Indian privet’ dan ‘Indian wild-pepper’.

Rasanya memang pahit, daun lemuni antara herba atau ulam yang paling baik untuk kesihatan wanita.

Kebiasaannya daun lemuni sering dimasak bersama nasi sebagai alternatif mengurangkan rasa tidak enak tersebut pada tunas rasa. Bukan saja dimakan, dibuat mandi pun boleh. Caranya, ambil daunnya, rebus. Air rebusan itu dijadikan mandian sepanjang tempoh berpantang. Memang bagus, badan rasa segar dan luka pun lekas sembuh.

Nasi lemuni kurang sesuai makan hari-hari sebab panas, seminggu sekali tidak sahaja. Nak buatnya senang, bahan utamanya daun lemuni kisar digaul bersama bawang merah, bawang putih dan halia. Kalau nak lebih sedap masukkan santan, lepas tu tanak macam biasa. Tapi, untuk orang berpantang, guna bahan asas lebih baik. Ia boleh dimakan dengan semua jenis lauk, dengan sambal tumis, ikan goreng atau asam pedas pun sedap.