Cerita Klasik

Selamat tinggal jentera lama, diam tak diam dah banyak jasa untuk bangsa dan negara. Namun apakan daya, suratan takdir yang menentukan segalanya.

Pejabat Pos merupakan kemudahan untuk tujuan penghantaran, penerimaan, isihan dan pengendalian mel. Kesemua item yang diposkan dipindahkan daripada pejabat pos di kawasan tersebut ke pusat agihan yang dikenali sebagai stesen isihan dan kemudian dihantar kepada penerima.

Setiap pejabat pos dipertanggungjawabkan kepada seorang Ketua Pos.

Daripada dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos, Jabatan Pos, mulai tahun 1992, Pos Malaysia Berhad memulakan perubahan besar dalam pengurusan perniagaannya.

Namun, apa yang bermula sebagai medium penghantaran surat dan dokumen perniagaan kini telah berkembang sebagai pusat perkhidmatan sehenti dengan pelbagai perkhidmatan ditawarkan.

Pejabat Pos pekan Trolak
Pejabat Pos pekan Trolak adalah sangat menarik. Ia sebuah bangunan kayu yang klasik. Nak masuk kena bukak selipar lepas tu basuh kaki pakai air tempayan - klasik.

Susah nak jumpa bangunan sebegini. Hanya atap sahaja diperbahaui. Yang lain masih utuh. Depan sikit pejabat pos ini ada jambatan dibina tahun 1939. Pekannya macam pekan tinggal.

Ia sebuah pejabat pos yang tenang. Mengimbas kembali pekan-pekan terpencil seperti ini sebenarnya membeli semula segala ingatan terhadap sejarah lama negara yang jauh kita lupakan. Siapa sangka dalam zaman secanggih hari ini kita masih boleh melihat suasana lama walaupun dimamah masa.

Pejabat Pos pekan Chenderiang
Terdapat sebuah pejabat pos klasik menjadi pusat sehenti bagi para penduduk menyelesaikan bil-bil utiliti serta menghantar surat. Sebuah balai polis moden juga turut dibina bagi menjaga keselamatan setempat. Terdapat juga sebuah pasar basah yang kecil. Rasanya tidak ramai yang berniaga di pasar ini.

Pejabat Pos Kuala Lipis
Pejabat Pos Kuala Lipis merupakan salah satu daripada bangunan warisan sejarah di Kuala Lipis, tetapi kedudukan batu tanda kosong di sebelah bangunan tersebut lebih menarik perhatian. Pejabat Pos Kuala Lipis terletak di Jalan Besar, Kuala Lipis telah dibuka pada tahun 1910.

Sebenarnya tiada apa yang uniknya pada batu tunggul yang terpacak di sebelah pejabat pos tersebut. Tetapi sejarah di sebalik kewujudannya iaitu sebagai menandakan permulaan sukatan jarak bagi Negeri Pahang di mana perkiraan kosong bermula dari Kuala Lipis telah menjadi kebanggaan penduduk Kuala Lipis sejak dahulu lagi.

Pejabat pos Kuala Lipis terletak di bandar lama berhadapan dengan Maybank dan diapit oleh stesen Kereta api di belakangnya. Di antara Pejabat pos ini dengan Maybank, dipisahkan oleh sebatang jalan sehala. Batu penanda jalan '0' ini yang duduknya betul-betul di tepi pejabat Pos di bahu jalan agak terkenal dalam kalangan orang sini.

Pejabat Pos Kajang

Bandar Kajang membangun kerana terletak berhampiran dengan Sungai Langat dan cawangannya iaitu Sungai Jelok atau Sungai Jerloh. Sungai Langat merupakan laluan utama pedagang dan pelombong mengangkut bijih timah dan getah ke luar negara, khususnya ke negara Britain. Jadi Kajang boleh membangun kerana adanya faktor bijih timah dan getah.
Kajang terletak hanya 22 km dari Kuala Lumpur, 8 km dari Semenyih dan 12 km dari Bandar Baru Bangi. Pejabat Pos Kajang, dibina sebelum Perang Dunia Ke-2 tetapi mula beroperasi sebagai pejabat pada tahun 1914.

Pada masa dahulu 'pusat' Kajang ialah di pejabat pos. Tetapi kini 'pusat' Kajang beralih kepada bangunan Plaza Metro.

Kajang merupakan bandar utama dan bekas pusat pentadbiran daerah Hulu Langat sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Bangi. Di sini terletak semua pejabat kerajaan yang utama. Kebanyakan pejabat pos ini merupakan bangunan bersejarah dan ada yang telah dibina sebelum Era Perang Dunia ke-2 lagi.

Pejabat Pos Batu Arang
Pejabat pos Batu Arang masih mengekalkan bangunan kayu. Batu Arang, memang telah digazetkan sebagai salah satu pekan warisan. Bangunan-bangunan di sini tidak boleh diubah sesuka hati. Segala yang ada di sini dikira sebagai artifak negara.

Pejabat Pos Chikus
Sekiranya berkunjung ke Teluk Intan, menyusuri jalan melalui Kampung Bahagia, menuju Sungai Manik dan masuk ke Chikus sebelum keluar di Langkap. Sewaktu melalui Chikus, kita dapat melihat bangunan Pejabat Pos Chikus, yang kini terbiar dan kian dimamah zaman.

Dahulu pejabat ini memberikan perkhidmatan yang bukan sedikit kepada penduduk setempat. Bagaimanapun selepas beberapa pertimbangan dibuat, pengurusan syarikat mendapati pejabat ini tidak menguntungkan untuk terus beroperasi; maka Pejabat Pos Chikus pun ditutup operasinya.

Tinggallah bangunan ini dengan keadaan begitu-begitu.

Pejabat Pos lama Banting
Pejabat Pos Lama Banting pada Januari 2009, mungkin ada yang tidak pernah melihat atau mengetahui  bahawa terdapat sebuah Pejabat Pos lama di Pekan Banting yang juga bersejarah.

Pejabat Pos Beruas

Pejabat Pos Beruas, Perak, dulu dan kini. Pusat kerajaan yang paling awal diketahui di negeri Perak ini terletak di kawasan meliputi Beruas dan Dinding (Manjung hari ini). Kerajaannya diberi nama Gangga Negara.
Kerajaan Gangga Negara ini dipercayai terletak di daerah Dinding (Manjung) di kawasan Selatan Gunung Bubu, arah Timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang.

Pejabat Pos Bukit Rotan

Rasa macam rumah atok kat kampung. Ni pejabat pos zaman British masih kukuh walaupun dah ditelan zaman moden. Dinding kayu lama, lantai semua kayu.
Nak masuk buka kasut tak pakai no giliran bagi salam terus ke kaunter beratur. Datanglah sini kalau nak tengok pejabat pos macam rumah atas zaman atok nenek dulu.

Abang kaunter memang kelakar. Aritu nak renew lesen sebab setahun tak renew, terlupa; 'Pandai jadi halimunan, setahun naik flight eh, ke main kenyit mata ngan abang polis?'

Pejabat Pos Tanjung Rambutan

Pada tahun 70an dulu, di hadapan bangunan inilah Bank Bergerak akan membuat pembayaran gaji untuk kakitangan. Dulu nama bank tersebut BANK BUMIPUTRA.
Teringat cerita opah teman, zaman 50an dan 60an, sebulan sekali, lepas dapat gaji penduduk Tanjung Rambutan akan mengayuh basikal menuju ke pekan Ipoh untuk membeli daging. Tak pasti pulak teman berapa jaraknye. Rasanye lebih kurang sejam atau lebih perjalanan menaiki basikal.

Dulu belakang tu Sekolah Kebangsaan Tanjung Rambutan. Sekarang dah jadi Sekolah Tamil. Di belakang pejabat pos itulah pejabat sekolah. Bila time keretapi mel lalu, sibuk berebut berdiri kat tingkat. Siap lambai-lambai kat penumpang.

Gitulah dia kenangan silam.