Peti Surat

Peti Pos Pulau Mataking

Sebuah kapal kargo kayu lama sepanjang 40 kaki telah digunakan sebagai tukun tiruan dan dijadikan peti pos mini.

Peti surat diletakkan di hadapan roda kemudi kapal itu dalam satu majlis yang disaksikan oleh 40 tetamu antarabangsa dari Itali, Jerman, Sweden, Jepun dan juga penyelam tempatan. Mana-mana poskad yang dihantar melalui peti ini dimeteraikan dalam beg plastik. Cap Tarikh khas direka untuk menggambarkan perkhidmatan ini lebih unik, lain daripada yang lain.
Terletak pada kedalaman 20 meter, penyelam menggelarnya sebagai 'Mataking Shipwreck post'. Pengunjung  boleh membeli poskad di kedai berhampiran dan dimasukkan ke dalam sampul surat kalis air berserta beg pos khas. Pengunjung perlu menyelam, selepas itu mengirim poskad mereka kepada petugas kaunter yang berada di dasar laut.

SkyPost Langkawi
Terletak 708 meter di atas paras laut adalah yang pertama di Malaysia. Poskad dikirimkan dari sini oleh pelawat dan pelancong, ianya menggalakkan tarikan menarik seperti SkyCab dan Skybridge, malah mempromosikan Langkawi dan Malaysia secara keseluruhannya dalam dan luar negara. Poskad dan kad ucapan memaparkan pemandangan puncak gunung, flora dan fauna tempatan. Pelawat dan pelancong diberi peluang merakam saat ‘saya di sini‘ bersama orang yang tersayang, kemudian menghantar poskad, surat atau kad ucapan melalui peti surat di 'Stesen Top', di atas Gunung Machinchang.

Peti Pos Pendant Hut

Peti surat ini telah mencipta nama di Gunung Kinabalu, sekaligus mencipta nama dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai peti surat yang berada pada altitud tertinggi iaitu 3,289 meter dari aras laut.
Peti surat ditempatkan di Pendant Hut, Laban Rata, iaitu lokasi yang boleh dihubungi melalui pendakian selama empat hingga enam jam dari Taman Kinabalu, pintu masuk utama ke Gunung Kinabalu. Kedudukan peti itu menjadikannya setanding dengan peti surat di Gunung Fuji, Jepun dan Jungfrau di Pergunungan Swiss, Switzerland.

Pendaki-pendaki Gunung Kinabalu boleh berkongsi pengalaman mereka bersama keluarga dan rakan menerusi kiriman poskad dengan cap pos khas dan logo Malaysia Book of Records. Peti pos ini menjadi antara tarikan baharu untuk pelancong selain dapat terus mempromosi Gunung Kinabalu dalam bentuk poskad atau cop pos khas.

Peti Pos Avillion Layang Layang

Inilah peti surat dasar laut di pulau Layang Layang dan terdalam di negara dengan kedalaman 40 meter dari permukaan laut.
Pulau Layang Layang terletak 300 kilometer dari pantai Sabah dan mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan menggunakan kapal terbang dari Kota Kinabalu.

Kedudukan Peti Pos tersebut setanding dengan negara-negara lain seperti Susami, Wakayama di Jepun dengan kedalaman 10 meter, yang ketika ini memegang Guinness World Records.

Peti pos dasar laut ini merupakan projek pos pelancongan kedua; selepas yang pertama dilancarkan di Gunung Kinabalu sebagai peti pos tertinggi di Malaysia.

Kemudahan peti pos dasar laut itu membolehkan para penyelam di Pulau Layang Layang berkongsi pengalaman bersama keluarga dan rakan menerusi kiriman poskad kalis air dengan cop pos khas dan logo 'Malaysia Book of Records'. Pulau Layang Layang akan menggunakan poskod khas bernombor 88005 sebagai usaha meningkatkan kemudahan pos kepada para pelancong dan kakitangan yang tinggal di pulau itu.